Selasa, 1 Julai 2008

Takaful

Apa yang dimaksudkan dengan Takaful


PENGENALAN TAKAFUL


TAKAFUL berasal daripada perkataan Arab ‘Kafalah’ yang bermaksud ‘saling menjamin’ atau joint guarantee. Ia boleh digambarkan sebagai satu perjanjian antara sekumpulan peserta yang bersetuju untuk saling menjamin mana-mana ahli dalam kumpulan itu yang ditimpa kerugian tertentu.
Konsep takaful ini sudah pun wujud pada asasnya sejak sebelum zaman Islam lagi. Pada masa itu, ia dikenali sebagai sistem ‘aqila’ (tanggungjawab bersama) yang dipelopori oleh kaum-kaum Arab pada waktu itu.

TAKAFUL yang dikenali sekarang beroperasi sebagai satu jenis perniagaan (tijari), dan ia berlandaskan prinsip Syariah, iaitu tiada unsur riba, perjudian atau ketidakpastian dalam kontrak dan pengendalian perniagaan takaful itu.

Dalam kontrak takaful, peserta bersetuju untuk menderma sebahagian daripada caruman mereka untuk membantu peserta-peserta lain yang menghadapi kesulitan/kerugian tertentu (ini di kenali sebagai tabarru’). Ia merangkumi unsur perkongsian tanggungjawab, saling menjamin dan melindung sesama mereka. Ini merupakan teras kepada sistem takaful yang menjadikan unsur ketidaktentuan dibenarkan dalam kontrak takaful.

Tiada ulasan: